[Video] "Saya Bukan Mencari Populariti Tapi Mahu Masyarakat Tahu Muslim Adalah Orang Baik"


Kak Sabariah wanita kental yang pernah diserang strok berbakti pada masyarakat di Montreal, Kanada.

Pada usia emas, Kak Sabariah masih gagah melakukan kerja sukarelawan sempena Ramadan.  (gambar:screenshot rojakdaily)
“Saya tidak mendapat sebarang gaji, jadi saya anggap saya berkerja untuk Allah,” ujar Sabariah Hussein,70, mengenai kerja-kerja kebajikan yang dilakukan sepanjang hidupnya.

Lebih mesra dipanggil Kak Sabariah, dia yang dibantu beberapa sukarelawan bekerjasama memasak untuk lebih kurang 380 gelandangan, pelarian dan orang miskin di sekitar bandar Montreal, Kanada, sepanjang Ramadan.

BAGAIMANA KAK SABARIAH MENYEDIAKAN MAKANAN PERCUMA?

Mengikut laporan Montreal Gazette, Kak Sabariah yang berasal dari Johor Bahru berhijrah ke Kanada sejak 30 tahun lalu setelah menamatkan satu kursus masakan antarabangsa di Kuala Lumpur.

Bercerita mengenai makanan percuma yang disediakan sepanjang Ramadan ini, ianya disediakan di rumah apartmen bersaiz sederhana miliknya di Montreal. Setiap hari Kak Sabariah akan menyediakan hidangan seperti nasi, kari, bebola daging, sup kacang dan pelbagai sajian lain.

“Inilah sumber rasa kegembiraan dalam hidup saya apabila dapat membuatkan orang lain tersenyum,” ujarnya seperti dilaporkan stesen berita, Kanada CTV News.

Selain memasak untuk golongan yang memerlukan, Kak Sabariah juga menguruskan rumah kebajikan wanita miliknya. Kesemua aktiviti ini dijalankan secara sepenuh masa tanpa sebarang bayaran. Punca pendapatan tunggalnya pula datang daripada menjual makanan di luar sebuah masjid selepas Solat Jumaat.

Bagaimanapun, jualan ini dihentikan pada Ramadan untuk menumpukan perhatian kepada aktiviti kebajikan. Selain mengedarkan makanan ke masjid-masjid di serata bandar Montreal, dia turut membantu di beberapa buah gereja di sana.

Baginya, sesiapapun tidak kira latar belakang, kaum, agama, mahupun jantina perlu diberi bantuan dan pertolongan.

“Di dalam Islam, kita perlu bersatu. Sebab itulah saya mahu lakukan kerja kebaikan. Saya bukan mencari populariti tetapi saya mahu masyarakat tahu bahawa Muslim adalah orang-orang yang baik juga,” katanya.



Kak Sabariah mengedarkan makanan ke masjid di serata bandar Montreal termasuk membantu ke beberapa buah gereja di sana. (gambar:screenshot rojakdaily)

SIAPA KAK SABARIAH?

Sifat suka menolong dan membuat kebajikan ini sebenarnya sudah disemai di dalam diri Kak Sabariah sejak kecil lagi. Walaupun dilahirkan di Johor Bahru, dia berpindah ke Singapura pada usia tiga tahun. Ketika itu keluarganya mengikut bapanya yang mendapat pekerjaan di sana.

Dia mempunyai enam adik-beradik tetapi keluarganya membuka pintu rumah kepada yang memerlukan. Saudara-mara dan rakan-rakan yang berada dalam kesusahan bukan sahaja tinggal bersama keluarga Kak Sabariah tetapi turut diberikan makanan dan tinggal seperti satu keluarga. Ketika itu seramai 18 ahli keluarga tinggal di rumah mereka.

“Ianya bagaikan sebuah pusat penjagaan anak yatim. Sepupu saya misalnya, pada ketika itu kehilangan suaminya, maka anak-anaknya tinggal bersama kami,” sambungnya.


PENGALAMAN HITAM DALAM HIDUP

Setelah mengharungi hidup selama 70 tahun, wanita yang masih bertenaga ini mengatakan dia pernah diserang strok sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2004 dan 2005. Kejadian pertama berlaku ketika dia membantu mangsa tsunami di Indonesia.

Ketika itu dia berusaha mengumpul dana untuk tujuan tersebut tanpa tidur selama tiga hari. Kak Sabariah berpesan pada suaminya agar tidak mengejutnya dari tidur walaupun apa terjadi. Akhirnya, beliau tertidur selama tiga hari berturut-turut. Sebaik tersedar, dia memarahi suaminya kerana tidak mengejutnya untuk melakukan solat.

“Saya tidak sentuh langsung pasal makan cuma melakukan solat sahaja,” ujarnya.

Doktor kemudian mengesahkan dia tidur selama tiga hari sebenarnya berada dalam keadaan koma. Dia ketika itu mengalami strok tetapi pada hari ini, Kak Sabariah kembali sihat dan kehidupannya paling bermakna apabila dia dapat meneruskan usaha menolong orang lain yang memerlukan bantuan.

Sumber

Subscribe to receive free email updates: